Thursday, December 04, 2008

Utusan Malaysia 4/12/2008

Kelantan semakin pulih daripada banjir

04/12/2008 11:35am

KOTA BAHARU 4 Dis — Keadaan banjir di Kelantan pulih secara drastik dengan hanya 606 mangsa banjir di pusat pemindahan pagi ini berbanding 1,691 orang semalam.

Jurucakap Pusat Operasi Banjir Kelantan berkata sehingga 10.30 pagi hanya lapan pusat pemindahan dibuka dengan Tumpat kini mempunyai 444 orang dan Pasir Mas 162 orang.

Ini berikutan cuaca panas di negeri itu semalam yang menyaksikan hujan turun sekali sekala. Bagaimanapun, Sungai Golok masih berada pada paras bahaya iaitu 9.49 meter manakala tujuh lagi sungai di Kelantan berada pada paras berjaga-jaga. — Bernama


"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Wednesday, December 03, 2008

Utusan Malaysia 3/12/2008

Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih, pusat pemindahan di Tanah Merah, Kuala Krai ditutup

03/12/2008 11:55am

KOTA BAHARU 3 Dis. — Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih walaupun bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkatkan kepada 1,747 pagi daripada 1,623 semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Kelantan berkata walaupun jumlah itu meningkat bertambah, pusat pemindahan di Tanah Merah dan Kuala Krai telah ditutup sepenuhnya mulai pagi ini.

“Hanya kawasan berdekatan di Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih mempunyai jumlah mangsa banjir yang tinggi kerana paras sungai kekal di atas paras bahaya iaitu 10 meter,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sehingga 10.30 pagi ini, seramai 1,077 mangsa masih berada di pusat pemindahan Pasir Mas, 646 di Tumpat dan 24 di Kota Baharu.

Di Pasir Mas, jalan-jalan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Banggol Kulim di km 23, Jalan Panglima, Jalan Pengkalan Rakit, Jalan Pasir-Mas Golok dan Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu di km 26, manakala jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan adalah Jalan Pohon Tanjung-Meranti di km 10 dan Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu di Kampung Kajang dan Kampung Rahmat.

Di Tumpat, Jalan Kampung Jambu di km 6.5 ditutup kepada semua kenderaan. - Bernama


"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Tuesday, December 02, 2008

Utusan Malaysia 2/12/2008

Amaran hujan di Terengganu, Kelantan, Pahang

02/12/2008 6:05pm

KUALA LUMPUR 2 Dis. — Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan “nasihat peringkat kuning” mengenai hujan sederhana kadangkala lebat yang dijangka berlaku di beberapa kawasan sekitar Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Keadaan ini mungkin menyebabkan banjir di sekitar tebing sungai dan kawasan kawasan rendah,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya ia dijangka berlaku dari 4 Disember, Khamis, pada sebelah malam, sehingga 8 Disember, Isnin.

Kawasan-kawasan yang terlibat adalah daerah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Jeli dan Kuala Krai di Kelantan.

Di Terengganu pula termasuk daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, di Pahang membabitkan daerah Jerantut, Kuantan, Maran, Bera, Rompin dan Pekan.

Sementara itu dalam satu lagi kenyataan jabatan itu berkata ribut petir, hujan lebat beserta angin kencang di Pahang (daerah Kuantan dan Pekan), Selatan Terengganu, Sabah (bahagian Kudat, Pantai Barat, Sandakan dan Tawau) serta Sarawak (Kuching, Sri Aman, Sarikei, Limbang, Miri, Bintulu dan Sibu) dijangka berterusan sehingga malam ini.

— BERNAMA


"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

 

Free shoutbox @ ShoutMix