Friday, November 28, 2008

Jenayah Cinta.3gp

Friday, November 07, 2008

Lambaian Ka'abah








Labbay-ka Allahumma Labbayk
Labbay-ka La Syareeka La-ka Labbayk
Inna al-hamda Wa an-Ni'mata La-ka Wa al-Mulk, La Syareeka Lak!

Oleh Mohd Razali Zakaria

Umat Islam sejagat berkumpul di Makkah, Madinah sebagai tanda pasrah kepada kebesaran Ilahi

IBADAT haji adalah satu kefarduan dhoruri yang ditaklifkan kepada mereka yang sudah cukup syarat wajib menunaikan haji. Jumhur ulama sepakat kewajipan ini dan jadi kufur orang yang ingkar kewajipan mengerjakannya.

Setiap tahun, lebih dua juta manusia dari segenap ceruk rantau mengerjakan haji dengan matlamat yang satu, iaitu mendapat haji mabrur dan kelebihannya. Ini bertepatan maksud hadis Nabi SAW, sesiapa mengerjakan haji dengan tiada melakukan rafas atau fasik nescaya dia akan kembali seperti dilahirkan ibunya.
Ilmu berhubung ibadat haji merangkumi perkara wajib dan sunat. Selain rukun haji, jemaah haji perlu mengetahui apakah yang dikatakan wajib haji iaitu pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji.

Jika tidak dikerjakan salah satu daripadanya, haji tetap sah, tetapi dikenakan dam menurut syaratnya dan berdosa jika ditinggalkan dengan sengaja.

Ada enam wajib haji iaitu:

  • Berniat ihram di miqat.
  • Meninggalkan larangan ihram.
  • Bermabit (bermalam) di Muzdalifah.
  • Melontar anak batu di Jamrah Kubra.
  • Bermabit (bermalam) di Mina.
  • Melontar anak batu di tiga Jamrah, iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.

    Wajib haji pertama iaitu niat ihram di miqat ialah berniat untuk mengerjakan haji. Niat itu hendaklah dilakukan di miqat. Berniat ihram di Miqat ialah ketentuan tempat atau sempadan untuk berniat ihram haji atau umrah.

    Miqat terbahagi kepada dua iaitu miqat zamani dan miqat makani. Miqat zamani haji ialah masa bagi seseorang untuk berniat ihram haji. Ia bermula dari 1 Syawal hingga terbit fajar (masuk waktu Subuh) pada 10 Zulhijah. Tempoh inilah yang dinamakan bulan haji.

    Miqat makani ialah ketentuan tempat atau sempadan untuk berniat ihram. Bagi jemaah haji yang masuk ke Madinah akan berada di sana selama 40 waktu sembahyang. Di Madinah, jemaah haji akan dibawa ziarah dalam Masjid nabawi dan ziarah luar.

    Selepas cukup tempoh lapan hari, jemaah haji akan menunaikan umrah ke Makkah dan berniat ihram di Bir Ali atau Zul Hulaifah. Bagi jemaah haji yang masuk terus ke Makkah dari Malaysia akan berniat ihram di Qarnul manazil lebih kurang satu jam sebelum mendarat di Jeddah.

    Antara kesalahan yang sering dilakukan jemaah haji ialah sering terlupa berniat ihram di Bir Ali bagi yang masuk ke Makkah melalui Madinah atau di Qanul Manazil bagi yang masuk terus ke Makkah dari Malaysia.

    Justeru, jemaah haji digalakkan berniat ihram selepas memakai ihram di bilik hotel di Madinah atau berniat ihram sebelum berlepas dari stesen berlepas tanah air bagi penerbangan terus ke Makkah.

    Sementara itu, tempat miqat yang ditentukan oleh Rasulullah SAW adalah Yalamlam atau dikenali juga sebagai al- Sa’diyyah, nama sebuah bukit yang terletak berhampiran Laut Merah di Semenanjung Tanah Arab. Jaraknya lebih kurang 89 kilometer dari Makkah.

    Yalamlam ialah miqat bagi penduduk Yaman dan orang yang datang dari arahnya. Dulunya bakal haji dari Malaysia yang menaiki kapal laut akan berniat ihram di sini.

    Zulhulaifah atau dikenali sebagai Bir Ali ialah kawasan yang jaraknya kira-kira 425 kilometer dari Makkah atau kira-kira 10 kilometer dari Masjid Nabawi.

    Zulhulaifah ialah miqat bagi penduduk Madinah dan orang yang datang dari arahnya.

    Al-Juhfah ialah kawasan yang jaraknya kira-kira 187 kilometer dari Makkah. Al- Juhfah ialah miqat bagi penduduk Syam (Jordan, Lubnan, Palestin dan Syria) dan umat yang datang dari arahnya.

    Qarn al-Manazil ialah kawasan yang jaraknya kira-kira 94 kilometer dari Makkah. Qarn al-Manazil ialah miqat bagi penduduk Najd atau orang yang datang dari arahnya.

    Zatu ‘Irqin juga dikenali sebagai al- Daribah terletak kira-kira 94 kilometer dari Makkah. Zatu ‘Irqin ialah miqat bagi penduduk Iraq atau orang yang datang dari arahnya.

    Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW menetapkan miqat bagi penduduk Madinah ialah Zulhulaifah, al- Juhfah (penduduk Syam), Qarn al-Manazil (penduduk Najd), Yalamlam (penduduk Yaman).

    Miqatitu juga bagi orang yang datang melaluinya kawasan itu dari negeri lain yang hendak menunaikan haji dan umrah.

    Bagi mereka yang tinggal di tempat kurang jarak jauhnya dari kawasan miqat ditentukan, maka miqat mereka ialah di tempat mereka sendiri hinggakan penduduk Makkah miqat mereka ialah di Makkah juga.

    Jemaah haji perlu memahami perkara berhubung larangan semasa dalam ihram. Meninggalkan larangan ketika dalam ihram bermaksud selepas jemaah haji berniat ihram sama ada haji atau umrah, maka haram melakukan perkara yang ditegah.

    Jika melakukan perkara itu, maka dikenakan dam menurut syaratnya. Jika dilakukan juga dengan sengaja maka ia berdosa.

    Larangan ihram adalah seperti berikut:

  • Menutup kepala atau sebahagian daripadanya (lelaki saja).
  • Menutup muka atau sebahagian daripadanya (perempuan saja).
  • Memakai pakaian berjahit secara bercantum atau bersarung (lelaki saja).
  • Memakai sarung tangan.
  • Menanggalkan rambut atau bulu dari mana-mana anggota badan.
  • Mengerat atau memotong kuku.
  • Memakai wangi-wangian sama ada di badan, pakaian, makanan, minuman atau menghisapnya ke dalam hidung.
  • Memakai minyak pada rambut atau janggut dan semua bulu muka selain daripada tumbuhan di pipi dan di dahi.
  • Memotong/menebang/mengerat atau mencabut pokok di Tanah Haram sama ada dalam ihram atau tidak.
  • Memburu binatang buruan yang halal dimakan atau membinasakannya di Tanah Haram atau Tanah Halal.
  • Melakukan mukadimah (pendahuluan) persetubuhan.
  • Bersetubuh.
  • Berkahwin/mengahwinkan/menerima wakil kahwin.

    Kebanyakan kesalahan yang sering dilakukan jemaah haji ialah memakai pakaian berjahit selepas memakai dan berniat ihram seperti memakai seluar. Jemaah haji juga sering lupa berniat ihram selepas memakai pakaian ihram.

    Apa yang perlu diambil perhatian oleh jemaah haji ialah kesempurnaan sesuatu umrah. Kebanyakan jemaah haji akan melakukan berkali-kali umrah sepanjang di Makkah. Oleh kerana amalan umrah tidak disempurnakan, maka pantang larang dalam ihram dilakukan dengan sengaja.

    Wajib haji adalah satu perkara yang mesti dilakukan jemaah haji. Jika ditinggalkan dengan sengaja, maka dikenakan dam. Walau bagaimanapun meninggalkan wajib haji dengan sengaja adalah berdosa.

    INFO
    Enam wajib haji

  • Berniat ihram di miqat.
  • Meninggalkan larangan ihram.
  • Bermabit (bermalam) di Muzdalifah.
  • Melontar anak batu di Jamrah Kubra.
  • Bermabit (bermalam) di Mina.
  • Melontar anak batu di tiga Jamrah, iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.

    Penulis ialah Pengurus (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji

  • "Kito Anok Kusia"
    Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

     

    Free shoutbox @ ShoutMix