Tuesday, November 24, 2009

Utusan Malaysia 24/11/2009

Banjir di Kelantan, Perak makin pulih

24/11/2009 7:46pm

KUALA LUMPUR 24 Nov. — Banjir di Kelantan dilapor semakin pulih dengan bilangan mangsa yang dipindahkan menurun kepada 3,652, berbanding 3,787 orang pada sebelah pagi manakala di Perak, 309 orang dibenar pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun keadaan di Terengganu dan Pahang tidak menunjukkan perubahan.

Di KELANTAN, sebanyak 948 keluarga masih berada di pusat pemindahan iaitu 1,957 orang di Pasir Mas, 668 orang di Tumpat, diikuti jajahan Kuala Krai (572 orang), Tanah Merah (272 orang), Kota Bharu (121 orang) dan Machang (62 orang).

Sehingga petang ini, paras air Sungai Golok dan Sungai Kelantan masih melebihi paras bahaya manakala Sungai Galas berada di paras berjaga-jaga dan Sungai Lebir serta Sungai Kelantan di Tangga Krai pada paras amaran.

Dua belas jalan di lima jajahan masih ditutup kepada semua kenderaan, antaranya di jalan Kota Bharu-Pantai Cahaya Bulan kilometer empat, Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu di Pasir Mas, Jalan Tanah Merah-Kusial di Tanah Merah, Jalan Pohon Tanjung-Pasir Pekan di Tumpat dan di Machang iaitu Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata.

Di PERAK, Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata, seramai 309 orang dibenar pulang ke rumah hari ini.

Hanya tinggal tiga pusat pemindahan yang menempatkan mangsa banjir berkenaan manakala sebuah pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Tamil Simpang Lima ditutup tengah hari ini. - Bernama


"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB,Sri Guillemard & PKB

Monday, November 23, 2009

Utusan Malaysia 23/11/2009

Banjir makin buruk

  • Di Terengganu 5,641 mangsa daripada 1,288 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.
  • 300 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ‘berkampung’ di tujuh sekolah menengah di Besut bagi pastikan mereka dapat duduki peperiksaan hari ini.
  • Jalan Sungai Tong-Kuala Berang ditutup kerana dinaiki air setinggi 1.2 meter, Jalan Penarik-Permaisuri (0.5 meter), Jalan Ajil - Kuala Berang

    (0.9 meter).

  • Di Kelantan 2,668 mangsa daripada 480 keluarga dipindahkan ke 729 pusat pemindahan.
  • Paras air Sungai Kelantan di Kusial, Kuala Krai, Sungai Golok dan Rantau Panjang melebihi paras bahaya.
  • KOTA BHARU 22 Nov. – Keadaan banjir di negeri ini semakin teruk menyebabkan seramai 2,668 mangsa daripada lebih 480 keluarga dipindahkan ke 729 pusat pemindahan banjir hari ini.

    Laman web mengenai banjir di negeri ini melaporkan, setakat pukul enam petang ini, Jajahan Pasir Mas paling terjejas teruk apabila sejumlah 910 mangsa daripada 240 keluarga dipindahkan.

    Menurut laman web itu, Jajahan Kuala Krai turut terjejas teruk selepas banyak kawasan rendah dinaiki air menyebabkan 669 mangsa berpindah ke lapan pusat pemindahan yang dibuka.

    “Di Jajahan Tanah Merah, seramai 251 mangsa dipindahkan membabitkan 58 keluarga manakala 119 mangsa daripada 26 keluarga dipindahkan di Jajahan Jeli.

    “Di Pasir Puteh, 36 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan manakala 19 lagi mangsa daripada empat keluarga turut berpindah di Jajahan Machang,” lapor laman web tersebut.

    Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan menunjukkan paras air di beberapa sungai utama iaitu Sungai Kelantan di Kusial dan Kuala Krai serta Sungai Golok di Jenab dan Rantau Panjang telah melebihi paras bahaya.

    Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri ketika dihubungi mengesahkan beberapa jalan di negeri ini telah ditutup akibat dinaiki air.

    Jalan Kampung Panglima Bayu dan Kampung Kajang di Rantau Panjang ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air sehingga sedalam satu meter.

    Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kilometer 45 turut ditutup kepada kenderaan ringan kerana turut mengalami nasib sama.

    Jalan Tanah Merah-Kusial di Kilometer 6.7 turut ditutup kepada semua jenis kenderaan.


    "Kito Anok Kusia"
    Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB,Sri Guillemard & PKB

    Thursday, November 05, 2009

    Utusan Malaysia 5/11/2009

    Air Sungai Kelantan dan Sungai Golok melebihi paras waspada

    05/11/2009 4:46pm

    KOTA BHARU 5 Nov — Penduduk Kelantan terutama yang tinggal di kawasan rendah diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan paras air di Sungai Kelantan dan Sungai Golok kini melebihi paras waspada.

    Berikutan itu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan membuka bilik gerakan banjirnya pada pukul 1 petang ini bagi memantau paras air di sungai-sungai utama di negeri ini.

    Bacaan di Sungai Kelantan di Tualang, Gua Musang pada pukul 2.30 petang ini berada pada paras 28.29 meter iaitu melebihi paras waspada 27 meter manakala paras bahaya sungai itu ialah 35 meter.

    Satu lagi bacaan sungai itu iaitu di Tangga Krai, Kuala Krai kini pada paras 20.38 meter (waspada 20 meter/bahaya 25 meter) dan di Kusial, Tanah Merah pula bacaan di sungai itu ialah 12.16 meter (waspada 12 meter/bahaya 16 meter).

    Di Sungai Golok iaitu bacaan di Jenob, Tanah Merah pula kini 22.38 meter (waspada 21.50 meter/bahaya 23.50 meter) dan di Rantau Panjang ialah pada paras 7.44 meter (waspada 7 meter/bahaya 9 meter).

    Pemangku Pengarah JPS, Wan Mohd Sulaiman Wan Ismail menasihati penduduk Kelantan terutama yang tinggal di tebing sungai dan kawasan rendah supaya mula mengambil langkah bersiap sedia.

    "Kami sedang memantau keadaan paras air sungai utama dan meminta semua pihak mula mengambil langkah berwaspada dan mendengar laporan daripada pihak berkuasa dan media massa dari masa ke semasa,” katanya.

    — BERNAMA


    "Kito Anok Kusia"
    Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB,Sri Guillemard & PKB

    Tuesday, November 03, 2009

    Kelantan cuti Ahad ini...

    Final Piala Malaysia, Nik Aziz umum Kelantan cuti

    Rizal Tahir
    Tue | Nov 03, 09 | 4:05:01 pm MYT

    KOTA BHARU, 3 Nov:Kerajaan Kelantan mengisytiharkan cuti pada Ahad ini 8 November bersempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan Kelantan menentang Negeri Sembilan.


    Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata cuti berkenaan diberikan bagi menghargai skuad negeri 'Red Warriors' yang telah berjaya ke perlawanan akhir selepas 39 tahun dalam penantian.

    "Cuti berkenaan diberikan juga untuk kemudahan para penyokong untuk memberi sokongan kepada pasukan kita, khususnya dari Kelantan,"ujarnya.

    Menurutnya, mereka tidak perlu bersusah payah memohon cuti atau tergesa-gesa untuk pulang semula ke kampung halaman masing-masing untuk bekerja keesokan harinya.

    "Walaupun kita belum pasti adakah kita akan menjadi juara pada malam itu, namun cuti tetap akan diberikan pada hari Ahad ini atas sebab-sebab sedemikian,"ujarnya.

    Sambungnya, mudah-mudahan dengan cuti yang diberikan oleh kerajaan negeri, para penyokong khususnya yang sama-sama turun ke Stadium Bukit Jalil akan pulang dengan tenang dan selamat.

    Pada masa yang sama beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan negeri kerana telah berjaya melangkah gagah ke peringkat akhir.

    Beliau juga berharap, dengan prestasi yang semakin meningkat itu skuad Kelantan diharap mampu menjuarai perlawanan peringkat akhir.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika ditemui berkata, dianggarkan hampir 50,000 penyokong Kelantan akan memberi sokongan di Stadium Bukit Jalil nanti.

    Sebelum ini Tuan Guru telah mengikuti perlawanan separuh akhir pertama antara Kelantan menentang Perlis di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV berkesudahan pasukan merah putih itu menang dengan 2-0.

    Perlawanan kedua separuh akhir antara Kelantan menentang Perlis itu juga sekali lagi skuad 'Red Warriors' berjaya menewaskan Perlis dengan 3-1.

    Anggota-anggota exco kerajaan negeri termasuk Datuk Husam Musa dijangka hadir menyaksikan perlawanan berkenaan. _


    "Kito Anok Kusia"
    Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB,Sri Guillemard & PKB

     

    Free shoutbox @ ShoutMix