Friday, January 22, 2010

Sinar Harian 22/01/10

41 ceburi tanaman jagung manis 929

TANAH MERAH - Seramai 41 petani di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) jajahan Tanah Merah, menyertai projek tanaman jagung manis 929 yang diusahakan di tanah seluas 53 ekar.

Tanaman jagung manis gred 929 ini, mendapat sambutan yang menggalakkan daripada petani berbanding dengan tanaman jagung manis 969 kerana rasanya yang lebih manis dan buahnya yang lebih besar, berbanding projek tanaman jagung terdahulu yang disertai oleh 21 petani.

Pengurus Pembangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanah Merah, Mokhtar Yusoff berkata, jika pada projek jagung 969 petani mengusahakan tanaman terbabit di Kampung Paloh kini projek tanaman jagung benih ini diusahakan di Kenerak.

“Dalam projek tanaman jagung pada kali ini, petani amat yakin dan percaya dengan tanaman berkenaan boleh menambahkan hasil dan pendapatan kerana permintaan yang menggalakkan.

“Diharapkan agar projek tanaman jagung benih 929 ini, dapat dimajukan ke peringkat seterusnya dengan sambutan yang baik di pasaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Salah seorang petani yang mengusahakan tanaman ini, Abdullah Zawawi Mat Zain, memperoleh pendapatan yang diperoleh hampir RM3,200 untuk tanaman jagung ini untuk seekar tanah yang diusahakan dengan tanaman jagung itu.

“Jika tanaman jagung manis terdahulu, pendapatan hanya mencecah RM800 hingga RM1,000, namun jagung gred ini lebih baik dan hasil pun lebih lumayan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak LPP yang banyak membantu kami mengajar cara-cara penanaman jagung jenis ini yang mendatangkan hasil yang menguntungkan,” katanya.

Sementara itu Mokhtar berkata, musim keempat tanaman ini mula ditanam bermula semalam 21 Mac dan mengambil masa dua bulan serta boleh dituai hasilnya pada 21 Mac ini.

“LPP memberi galakan kepada petani dengan dengan menyediakan benih, racun baja dan memastikan sistem pengairan yang baik di kawasan tapak tanaman ini.

“Dengan keuntungan yang diperoleh petani, RM600 akan disumbangkan kepada tabung di bawah LPP untuk pusingan bagi mengusahakan tanaman jagung ini untuk musim seterusnya," katanya.

"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB,Sri Guillemard & PKB

Monday, January 11, 2010

Sinar Harian 11/01/10

Penduduk hadapi masalah bekalan air

TANAH MERAH - Penduduk di sekitar jajahan ini termasuk di Kusial Bharu, Perumahan Kusial, Jerangau, Taman Ayuni, Batu 10, dan beberapa kawasan di sini mengharapkan agar pihak Air Kelantan Sdn Bhd mengambil tindakan segera berhubung masalah air yang melanda jajahan ini sejak hampir sebulan lalu.

Penduduk di sini resah akibat ketiadaan air bersih dan terpaksa menumpang mandi di rumah keluarga terdekat dan menggunakan telaga sebagai alternatif untuk mendapatkan bekalan air.

Seorang penduduk di jajahan ini, Mamat Sulaiman, 46, berkata, ketiadaan bekalan air menyebabkan dia terpaksa membawa anak-anak mandi di telaga.

“Ini menyukarkan kami yang mempunyai anak-anak yang bersekolah dan setiap pagi saya terpaksa mengangkut air daripada perigi bagi memudahkan urusan di rumah termasuk isteri saya untuk memasak kerana dia mempunyai masalah kesihatan dan tidak mampu mengangkut air di kawasan telaga ini.

“Lebih sukar apabila tiba waktu solat dan ketika ingin mengambil wuduk, kami terpaksa mengambil air di telaga berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penduduk di beberapa kawasan di sekitar jajahan ini sering mengalami masalah tersebut akibat tekanan air rendah dan ia turut menimbulkan masalah kepada penduduk yang tinggal di kawasan tinggi dan berbukit.

Sementara itu Halimah Hassan, 33, berkata, perkara terbabit perlu ditangani segera kerana ia menyebabkan hampir keseluruhan penduduk di jajahan ini terpaksa berdepan dengan masalah yang mengganggu urusan harian.

“Ini termasuk urusan memasak, mandi dan yang lebih penting urusan mengambil wuduk.

“Saya minta pihak terbabit menyegerakan tindakan bagi menangani masalah ini kerana ia melibatkan ramai pihak,” katanya.
Sumber : Sinar Harian 11/01/10
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB,Sri Guillemard & PKB

 

Free shoutbox @ ShoutMix