Wednesday, May 14, 2008

Kisah dale suratkhabar Utusan edisi Timur ~ 1



Jambatan Guillmard unik
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
SALAH satu sudut pandangan jambatan Guillmard sepanjang 686 meter yang merentangi sungai Kelantan.
TANAH MERAH 13 Mei - Dari jauh, ia bagaikan raksasa besi hitam yang panjang menjulur dari tebing Paloh Rawa Machang merentangi Sungai Kelantan dan lembahan ke Kusial, Tanah Merah.
Ia adalah sebahagian daripada sejarah silam yang seolah-olah disita oleh masa dengan wajah asal dan berperanan dengan fungsi silamnya iaitu laluan kereta api yang membelah Kelantan dan menghubungkannya dengan dunia luar.
Jambatan Guillmard atau lebih dikenali sebagai jambatan Kursial oleh penduduk negeri ini merupakan jambatan besi terpanjang di negara ini dan ditegakkan oleh tiang batu bata yang kusam.
Jambatan berusia 84 tahun, sepanjang 686 meter yang amat unik rekabentuknya dengan mengadaptasi sepenuhnya teknologi kejuruteraan Eropah yang tinggi di era itu - pasti memukau mata sesiapa sahaja yang melihatnya.
Mengintai dan berjalan melaluinya bagaikan kembali ke masa lalu dan jambatan itu masih berdiri teguh dan kukuh menampung pergerakan kereta api.
Jambatan itu dibina pada tahun 1920 dan siap sepenuhnya pada bulan Julai 1924 untuk laluan kereta api dan kenderaan bermotor melalui hamparan papan di kiri dan kanan landasan.
Nama 'Guillmard' mengambil sempena nama Gabenor British (Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu) pada masa itu, Sir Laurence Guillmard.
Ia telah melalui era pemerintahan penjajah Inggeris dan Jepun yang tentunya turut menyimpan catatan sejarah amat bernilai yang mungkin sebahagiannya belum terungkap.
Sebahagiannya mungkin belum diketahui umum termasuk kisah-kisah di sebalik proses pembinaannya dan tenaga kerja bagi menyiapkan projek mega pada waktu itu.
Tentu menarik kalau boleh disorot, bagaimana kisah jambatan ini disiapkan dalam tempoh hanya dua tahun dan betapa suka duka mereka yang terlibat memerah keringat bagi mendirikannya.
Jambatan ini pada 12 Disember 1941 semasa tercetusnya Perang Dunia Kedua, telah diletupkan oleh tentera British sebagai satu langkah strategik bagi menghalang kemaraan tentera Jepun.
Bagaimanapun kira-kira tujuh tahun kemudian ia telah dibaikpulih oleh penjajah Inggeris dan kembali dibuka kepada lalulintas pada 7 September 1948.
Sejak beberapa dekad lalu, jambatan ini semakin dilupakan, apabila ia tidak lagi digunakan sebagai laluan kenderaan bermotor.
Fungsinya sebagai landasan kereta api masih lagi kekal tetapi kenderaan lain tidak lagi menggunakannya apabila sebuah jambatan baru dibina beberapa kilometer dari tapaknya.
Justeru kampung-kampung di tebing berhampiran dua jambatan itu juga lengang, bagaikan ditinggalkan kerana ia bukan lagi laluan perhubungan yang utama dan penduduk yang bertani kehilangan sedikit punca rezekinya.
Guillmard - jambatan tertua ini seharusnya mampu memberi lebih banyak nilai kepada Kelantan kini dan bukan sekadar menjadi salah satu laluan perhubungan semata-mata.
Sekurang-kurangnya ia mungkin boleh memberi nilai baru sebagai salah satu produk pelancongan di Kelantan dengan pakej yang menarik.

"Kito Anok Kusia"
Anok Kusial, Perantau Kusial, ISVKB, ISPKB & Sri Guillmard

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix