Wednesday, May 14, 2008

Kisah dale suratkhabar Utusan edisi Timur ~ 2

Kemeriahan Kampung Kusial lenyap
TANAH MERAH 13 Mei - Kemeriahan suasana di kampung Kusial lenyap dengan tiba-tiba pada tahun 1988 setelah kenderaan awam tidak lagi berulang-alik di Jambatan Guillmard di kawasan itu untuk menyeberangi Sungai Kelantan.

Jambatan Guillmard yang merupakan jambatan kereta api ditutup kepada kenderaan awam yang 'menumpang' selama ini setelah siapnya jambatan konkrit beberapa kilometer dari jambatan bailey itu.

Sejak itu, kampung di pinggir jambatan itu lengang dan sunyi dan sebahagian penduduk kehilangan punca pendapatannya memasarkan hasil tani kepada pengguna laluan itu yang menunggu giliran untuk menyeberangi jambatan selorong itu.

Seorang penduduk, Zulkifli Mansor, 62, menceritakan, dulu penduduk dari kampung sekitar datang untuk memasarkan hasil tani termasuk buah-buahan di samping kuih-muih serta keperluan harian lain di satu pasar kecil di Kampung Kusial.

''Anak-anak kampung pula ada yang menjaja dari kereta ke kereta manakala pemandu yang lama menunggu singgah seketika untuk membeli-belah atau berehat sambil berbual dengan penduduk," ujarnya.

Seorang penduduk asal Paloh Rawa, Che Mah Che Hamid, 83, yang pernah merasai sendiri kegemilangan Jambatan Guillmard itu meminta kerajaan negeri memberi nafas baru kepada produk bersejarah itu.

"Amat sayang jika selepas ini jambatan ini hanya sekadar tinggal nama dan tidak diketahui kisah sebaliknya oleh orang ramai terutamanya golongan muda.

"Dulu kawasan jambatan ini amat meriah dengan tumpuan aktiviti ekonomi apabila ia menjadi satu-satunya penghubung antara Machang dan Tanah Merah.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kampung itu mendapati terdapat sisa-sisa konkrit bekas stesen kereta api, stor, kuarters pekerja dan tempat penjaga palang laluan kereta api.

Sementara itu, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan (MTPNK) memang menyedari potensi yang terdapat pada Jambatan Guillmard bagi diangkat menjadi salah satu produk pelancongan bersejarah di negeri ini.

Pengerusinya, Abdul Aziz Derashid berkata, ia akan dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat MTPNK termasuk mengenal pasti beberapa kemudahan prasarana berhampiran yang akan turut dinaik taraf sebagai pelengkap kepada produk berkenaan.

Menurut beliau, secara dasarnya ia boleh dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri dengan menyediakan pakej tertentu sebagai pelancong untuk melawat tempat bersejarah dan menarik di negeri ini.

"Kita memang melihat potensi jambatan ini kepada salah satu produk pelancongan negeri tetapi bidang kuasa penyelenggaraannya berlaku sedikit kekeliruan sama ada ia tertakluk kepada pelancongan iaitu MTPNK atau sejarah iaitu Jabatan Warisan Negara," katanya.

Jambatan Guillmard mempunyai nilai sejarah yang cukup tinggi tetapi agak merugikan jika ia tidak dieksploitasikan dalam pelbagai bentuk dan pendekatan termasuk melalui filem.

Nasib jambatan ini jelas berbeza dengan Jambatan Sungai Kwai Yai di Kanchanaburi, Thailand yang boleh dikatakan sezaman dengannya dan cukup popular dengan kisah tahanan perang Tentera Berikat yang dikerah menjadi buruh membina landasan kereta api maut Thailand - Myanmar.

Hasilnya, pembikin filem Hollywood telah menerbitkan filem The Bridge of River Kwai yang menggunakan latar belakang pembinaan jambatan di Thailand itu yang sekali gus memperkenalkan daerah Kachanaburi di peta pelancongan dunia.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
• Jambatan Guillmard unik
• Kemeriahan Kampung Kusial lenyap
• Peneroka jangan jual tanah
• Sediakan pelan induk pembangunan Pulau Tioman
• Dermawan, siswazah diseru bantu SAR
• Nilai semula perkampungan OKU

" Kito Anok Kusia"
Anok Kusial, Perantau Kusial, ISVKB, ISPKB & Sri Guillemard

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix