Monday, January 11, 2010

Sinar Harian 11/01/10

Penduduk hadapi masalah bekalan air

TANAH MERAH - Penduduk di sekitar jajahan ini termasuk di Kusial Bharu, Perumahan Kusial, Jerangau, Taman Ayuni, Batu 10, dan beberapa kawasan di sini mengharapkan agar pihak Air Kelantan Sdn Bhd mengambil tindakan segera berhubung masalah air yang melanda jajahan ini sejak hampir sebulan lalu.

Penduduk di sini resah akibat ketiadaan air bersih dan terpaksa menumpang mandi di rumah keluarga terdekat dan menggunakan telaga sebagai alternatif untuk mendapatkan bekalan air.

Seorang penduduk di jajahan ini, Mamat Sulaiman, 46, berkata, ketiadaan bekalan air menyebabkan dia terpaksa membawa anak-anak mandi di telaga.

“Ini menyukarkan kami yang mempunyai anak-anak yang bersekolah dan setiap pagi saya terpaksa mengangkut air daripada perigi bagi memudahkan urusan di rumah termasuk isteri saya untuk memasak kerana dia mempunyai masalah kesihatan dan tidak mampu mengangkut air di kawasan telaga ini.

“Lebih sukar apabila tiba waktu solat dan ketika ingin mengambil wuduk, kami terpaksa mengambil air di telaga berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penduduk di beberapa kawasan di sekitar jajahan ini sering mengalami masalah tersebut akibat tekanan air rendah dan ia turut menimbulkan masalah kepada penduduk yang tinggal di kawasan tinggi dan berbukit.

Sementara itu Halimah Hassan, 33, berkata, perkara terbabit perlu ditangani segera kerana ia menyebabkan hampir keseluruhan penduduk di jajahan ini terpaksa berdepan dengan masalah yang mengganggu urusan harian.

“Ini termasuk urusan memasak, mandi dan yang lebih penting urusan mengambil wuduk.

“Saya minta pihak terbabit menyegerakan tindakan bagi menangani masalah ini kerana ia melibatkan ramai pihak,” katanya.
Sumber : Sinar Harian 11/01/10
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB,Sri Guillemard & PKB

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix