Tuesday, June 02, 2009

Sinar Harian 02/06/2009

Banggol Laha terpaksa berputih mata
TANAH MERAH - Banggol Laha akhirnya terpaksa berputih mata dengan Perumahan Kusial Baru, bila pasukan pelawat itu tewas 3-0 dalam perlawanan sengit bola sepak DUN Gual Ipoh yang berlangsung di padang perumahan awam di sini semalam. Usaha menjaringkan gol separuh masa pertama bagi merebut tempat teratas liga kumpulan dalam kempen memburu juara DUN Gual Ipoh, bermula seawal tiupan wisel dibunyikan. Kedua-dua pasukan meneruskan kemaraan mahu menjaringkan sebanyak mungkin gol. Namun Perumahan Kusial Baru dan Banggol Laha pasukan terpaksa akur dengan kekebalan masing-masing dengan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan. Perlawanan hebat dan menarik itu turut disaksikan penyokong kedua-dua pasukan. Separuh masa ke dua bermula dengan skil dan taktik kedua pasukan. Perumahan Kusial Baru (PKB) yang bermain di hadapan penyokong sendiri dengan taktik menyerang seluas padang, menggandakan asakan bahaya ke kawasan pertahanan Banggol Laha. Namun kepantasan penjaga gol Banggol Laha, Mohd Reduan Madun menyelamatkan gawang gol mereka ternyata menyukarkan bahagian serangan Perumahan Kusila Baru. Apa pun barisan serangan gigih yang diketuai Akmal Ariffin, Shahrul Hanapi dan Yusri Mat ternyata berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan Banggol Laha. Misi menewaskan lawan bermula pada minit ke sepuluh separuh masa kedua bila Akmal Ariffin mendapat bola cantik daripada pertahanan Perumahan Kusial Baru, lalu menggelecek beberapa orang pertahanan Banggol Laha, melorongkan bola itu kepada Yusri Mat. Pemain penyerang yang makin bahaya dalam jajahan Tanah Merah itu tidak melepaskan peluang yang dimiliki. Dengan tenang dan yakin, Yusri Mat melepaskan sepakan kencang ke gawang gol Banggol Laha dan berjaya menewaskan penjaga gol pasukan pelawat itu. Mengatasi lawan 1-0, Perumahan Kusial Baru terus menggandakan asakan ke kubu Banggol Laha dan dengan taktik menyerang penuh padang, Perumahan Kusial Baru mula menunjukkan taring mereka. Sepuluh minit selepas itu, sekali lagi Yusri Mat sekali lagi menambah bilangan gol Perumahan Kusial Baru. Jaringan semangat itu terus menjadikan Banggol Laha makin tertekan. Apa pun Banggol Laha tidak mudah berputus asa. Ketinggalan 2 kosong bukan alasan untuk pasukan pelawat itu menyerah kalah. Serangan pantas dan bahaya ditunjukkan Banggol Laha, namun serangan itu dapat ditewaskan pertahanan Perumahan Kusial Baru. Shahrul Hanapi menambah derita Banggol Laha bila dalam minit-minit terakhir separuh masa kedua dia berjaya memberikan gol ketiga pasukan Perumahan Kusial Baru. Sementara itu Pengurus pasukan Perumahan Kusial Baru, Rozi Safaai berkata, kejayaan itu hasil kerjasama semua pihak. “Tanpa kerjasama semua pihak payah untuk mencipta kemenangan. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Saya harap kita juara tahun ini,” katanya. Penyerang utama Perumahan Kusial Baru, Yusri Mat pula berkata, beliau akan berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan Perumahan Kusial Baru juara liga DUN dan KAFA. “Apa yang saya miliki, akan saya gunakan di dalam perlawanan yang bakal saya sertai nanti. Perumahan Kusial Baru tetap idam juara dan saya akan cuba sedaya mampu mengotakan impian semua,’' katanya pada Sinar Harian.
Sumber : Sinar harian edisi timur 02/06/2009
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix