Monday, July 13, 2009

Sinar Harian 13/07/2009

Penduduk setempat terus dibantu

KUSIAL - Kemiskinan dan kesengsaraan penduduk setempat terus mendapat perhatian pemimpin tempatan, yang tidak putus-putus memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Atas keprihatinan tersebut, seorang pekerja ladang di Kampung Kusial di sini turut menerima bantuan bagi membaiki bahagian dapur dan tandas kediamannya yang telah uzur, disumbangkan Pengarah DUN Gual Ipoh, Bakri Mustapha.

Turut hadir pada lawatan tersebut, Ketua Cawangan Tebing Tinggi, Zakaria Ali serta Penghulu Pemba-ngunan Mukim (PPM) Kusial Baru, Mohd Hanafi Ali.

Penerima sumbangan, Zakaria Awang Mat, 40, merupakan pekerja di ladang Tebing Tinggi Estet di kawasan ini, mempunyai tiga cahaya mata yang masih bersekolah.

Dia memperoleh pendapatan sebanyak RM400 sebulan hasil dari pekerjaannya itu.

Bakri berkata, dengan sumbangan bantuan membaiki kawasan dapur dan tandas di rumahnya diharapkan akan memberikan keselesaan kepada keluarga terbabit.

Katanya, dengan kerja baik pulih tersebut diharapkan dapat menceriakan keluarga berkenaan yang menetap di rumah terbabit hampir 10 tahun lalu.

“Sepanjang dia tinggal bersama keluarganya di kediaman terbabit, belum pernah sekalipun bahagian dalam rumah terbabit dibaiki,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Bakri, bagi membantu golongan yang memerlukan, beliau turut menyeru agar jabatan, parti politik atau individu menggembleng tenaga memberikan sumbangan kepada pihak terbabit.

“Dalam usaha murni ini, jangan letakkan pilihan atau darjat tanpa mengira fahaman politik, yang penting insan yang perlu dibantu harus diberikan perhatian sewajarnya.

“Saya akan cuba sedaya upaya, untuk meletakkan masyarakat Gual Ipoh sifar miskin dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Menurutnya, usaha tersebut akan dilakukan secara bersungguh-sungguh hingga ke akar umbi walaupun terpaksa meminta dari pelbagai jabatan, parti politik atau usaha sendiri.

“Diharapkan agar usaha murni ini akan terus disokong oleh pelbagai pihak bagi memastikan golongan yang memerlukan diberi pembelaan dengan sebaik-baiknya bagi menceriakan golongan terbabit,” katanya
sumber : sinar harian edisi timur 13/07/2009
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix