Saturday, July 25, 2009

Sinar Harian 25/07/2009

Akmal bawa PKB akhir piala KAFA

TANAH MERAH - Mohd Akmal Ariffin menjadi wira pasukan Perumahan Kusial Baru (PKB) bila dia berjaya menjaringkan 2 gol ketika menentang Tepi Sungai (TS) dalam perlawanan separuh akhir piala liga KAFA di sini, kelmarin.

Perlawanan yang berlangsung di padang Majlis Daerah Tanah Merah itu disaksikan penonton kedua buah pasukan dengan permulaan yang hambar, apabila kedua pasukan berhati-hati mencuri peluang.

Pada minit ke-10 separuh masa pertama, hasil percaturan taktik antara barisan tengah, pertahanan dan penyerang, Mohd Akmal yang menerima hantaran bola cantik daripada pemain sayap kanan terus menanduk bola ke dalam gawang gol TS.

TS yang ketinggalan satu gol tidak berputus asa namun, serangan tajam pasukan berpengalaman itu dapat ditewaskan pertahanan PKB yang diketuai Suhaimi Awang Kecik.

Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan saling berhati-hati meneruskan permainan. PKB dan TS berbalas serangan. Namun, Mohd Akmal Ariffin terus menambah derita TS apabila pada minit ke-15 separuh masa kedua, dia menjaringkan gol keduanya yang mana meranapkan pasukan TS untuk mara ke akhir.

Sementara itu, Pengurus Pasukan PKB, Rozi Safaai berkata, pasukannya akan menggandakan lagi latihan dalam usaha merampas piala liga dipertandingkan.

“Kami akan meningkatkan latihan dari masa ke semasa. Kami mahu juara dan tidak akan lepaskan peluang kali ini,” katanya.

Rozi berkata, percaturan pemain selain tunjuk ajar pemain senior tentunya akan menjadikan pasukannya kuat dan mantap dengan segala kelemahan pada perlawanan menentang TS akan dibaiki.

“Dalam usaha merealisasikan impian juara, kami akan mengadakan mesyuarat khas AJK kelab bola sepak bersama pemain.

“Dalam mesyuarat tersebut segala kelemahan dan kesulitan mereka akan didengari. Kami mahu berkongsi masalah pemain di padang,” katanya.

Sementara itu, kesemua pemain PKB yang ditemui Sinar Harian berkata, mereka menyimpan impian merampas juara liga.

“Dua kejohanan kami juara. Kali ini kami berjanji merebut johan kali ketiga,” kata Yusri Mat, pemain bahagian serangan PKB.
Sumber dari Sinar Harian Edisi timur 25/07/2009
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB ,Sri Guillemard & PKB

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix