Tuesday, December 02, 2008

Berita Harian 2/12/2008

Keadaan dua negeri kembali buruk

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda Kelantan dan Terengganu kembali buruk apabila 3,608 mangsa dipindahkan akibat hujan berterusan sejak awal pagi, tetapi keadaan pulih sepenuhnya di Pahang apabila semua mangsa dibenarkan pulang.

Banjir di Kelantan semalam turut meragut satu lagi nyawa apabila seorang kanak-kanak perempuan ditemui lemas, manakala seorang pelajar berumur 16 tahun dilapor hilang selepas dihanyut arus deras di Melor, Kota Baharu dan Pasir Mas.

Di KELANTAN, sehingga petang semalam, 1,513 mangsa dipindahkan ke 10 pusat pemindahan termasuk 90 mangsa dipindahkan di Jeli; 239 di Tanah Merah, 94 di Kuala Krai dan 38 orang di Tumpat.


Berikutan banjir yang semakin buruk di Pasir Mas, setakat ini tujuh laluan ditutup kepada semua kenderaan, manakala empat lagi hanya untuk kenderaan berat.


Di TERENGGANU, hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi menyebabkan banjir bertambah buruk petang ini dengan jumlah mangsa dipindahkan meningkat.


Jabatan Meteorologi memberi amaran hujan lebat akan berterusan di Terengganu iaitu di Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun.

Pada masa ini, jumlah mangsa di Terengganu meningkat kepada 2,095 orang. Tiga daerah yang terbabit ialah Kuala Terengganu dengan sejumlah 1,201 mangsa dipindahkan sehingga jam 6 petang ini manakala di Marang 686 orang dan Besut 69 orang.


Di KUANTAN, keadaan banjir di Pahang pulih apabila semua mangsa dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, 16 mangsa di Lembah Bertam, Ringlet Cameron Highlands enggan pulang walaupun dibenar berbuat demikian Jumaat lalu.

Di SUNGAI SIPUT, Perak, 52 orang daripada tujuh keluarga di Kampung Chor dan Kampung Lasah dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan kampung mereka dilanda banjir malam kelmarin.Sumber : Berita Harian, 2/12/2008

"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix