Monday, December 15, 2008

Sinar Harian 15/12/2008

Tahun depan misi juara sepak takraw Kusial Baru

TANAH MERAH - Meskipun berlatih di gelanggang terbuka di tebing Sungai Kusial Baru, misi mencari juara sepak takraw tahun depan daerah ini telah bermula beberapa bulan lalu.

Pengurus pasukan tersebut, Shuzaidi Shukri berkata, beberapa pemain pelapis dikenal pasti untuk menggalas impian memburu juara liga yang bakal dipertandingkan nanti.

“Individu potensi kenal pasti untuk menyertai pasukan kami kerana kejaguhan mereka di gelanggang diuji beberapa kali dalam sesi latihan dan perlawanan persahabatan.

“Ternyata, mereka hebat dan mampu membantu menjulang juara pasukan pada perlawanan yang bakal diadakan nanti,” katanya pada Sinar Harian.

Bercakap di gelanggang latihan di sini, Shuzaidi berkata, bagi memantapkan lagi pasukannya, perlawanan persahabatan bagi menguji kemampuan cukup penting dan patut dikerapkan.

Justeru, beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Bandar Machang diadakan selain menentang pasukan Kelaweh serta pasukan lain dalam jajahan Tanah Merah.

“Melalui perlawanan tersebut, kelemahan dan kemanta-pan pasukan dapat dikesan, selain melatih pemain supaya tenang menghadapi karenah penonton di gelanggang.

“Ketenangan penting dalam setiap perlawanan kerana kalau hati tidak tenang dan tidak mempunyai komitmen, pemain juga turut goyah,” katanya.

Mengimbau kejaguhan pasukannya Shuzaidi berkata, beberapa siri kejohanan liga disertai seperti kejohanan sepak takraw anjuran Persatuan Sepak Takraw Dewan kecil Machang, Liga Sukan Komuniti Dun Gual Ipoh dan terbuka Tanah Merah, Piala Liga Yang Berhormat Abdul Fatah Mahmood.

Biarpun tidak berjaya menjuarai liga dan meraih tempat teratas dalam pertandingan tersebut, namun pasukannya berjaya mengubah kedudukan dari tercorot.

Ditanya Sinar Harian apakah pasukan sepak takraw Kusial Baru memerlukan jurulatih daripada luar daerah untuk melonjakkan imej pasukannya, Shuzaidi berkata, setakat ini khidmat itu tidak diperlukan memandangkan kesemua pemain merupakan pemain yang banyak pengalaman.

“Pemain yang bermain dengan pasukan kami sudah beberapa menyertai pertandingan dan mereka sudah mempunyai banyak pengalaman. Oleh itu, khidmat jurulatih luar tidak diperlukan buat masa sekarang,” katanya.

Kepada penduduk sekitar yang berminat dengan sukan sepak takraw, Shuzaidi menyeru supaya menyertai pasukannya demi untuk melonjakkan imej pasukan itu bukan sahaja di dalam jajahan Tanah Merah ini, malah di Kelantan amnya.
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix