Tuesday, December 23, 2008

Sinar Harian 23/12/2008

Liga bola sepak bantu lahirkan pemain berpotensi

TANAH MERAH - Kekerapan dan kerancakan mengadakan pertandingan liga bola sepak daerah sedikit sebanyak dapat membantu melahirkan ramai pemain potensi sukan tersebut di sini.

Penaung Kelab Sukan dan Kebajikan NSO, Datuk Nik Saidina Omar Nik Zainal Abdin berkata, kekerapan itu memberi peluang kepada pemain menunjukkan aksi lincah mereka yang terpendam selama ini.

“Di Tanah Merah ini terdapat ramai pemain bola sepak berbakat. Setiap kali liga bola sepak diadakan, akan ada bakat-bakat baru muncul yang pasti gegarkan peminat sukan itu di daerah ini.

“Oleh itu, untuk menjadikan daerah ini lubuk bola sepak, bakat-bakat potensi itu hendaklah dipantau dari semasa ke semasa dalam ikhtiar untuk lahirkan pemain terkenal,” katanya pada Sinar Harian.

Saidina Omar berkata, bakat-bakat hebat itu pastinya membantu menaikkan imej sukan tersebut di sini, seterusnya berpeluang ke peringkat lebih tinggi lagi, sekiranya mereka di beri peluang beraksi.

Kata Saidina Omar, selain kekerapan mengadakan liga, sebuah pasukan Tanah Merah yang kuat perlulah diwujudkan dalam usaha mengangkat imej bola sepak daerah ini.

Oleh itu, untuk menempatkan diri dalam pasukan daerah, pemain perlu bertungkus-lumus mempersembahkan permainan terbaik mereka dalam usaha untuk diserapkan ke dalam kesebelasan pemain daerah.

Sementara itu pengurus pasukan KRT Perumahan Kusial Baru, Rozi Safaai berkata, pertandingan persahabatan antara kampung berdekatan juga merupakan salah satu usaha untuk melahirkan pemain bola sepak hebat daerah ini.

Melalui pertandingan tersebut, seseorang pemain boleh dikesan bakat mereka untuk diketengahkan, seterusnya digilap menjadi permata bola sepak daerah.

“Ramai pemain kampung menjadi pemain terkenal negeri. Oleh itu pemilihan daripada kampung merupakan faktor pertama menyumbang ke arah pemain terkenal daerah,” katanya.

Rozi berkata, padang kampung merupakan tempat pertama pemain berbakat menunjukkan kebolehan mereka. Oleh itu setiap padang kampung mesti dimanfaatkan oleh remaja dalam usaha menjadikan mereka pemain bola sepak terkenal daerah.

Bagi Mokhtar Che Kob yang juga merupakan bekas pemain veteran Tanah Merah, klinik bola sepak perlu diadakan dari semasa ke semasa dalam usaha melahirkan ramai pemain berbakat daerah ini.

“Ini satu lagi program yang perlu kerap diadakan. Klinik bola sepak penting bagi membantu menaikkan imej bola sepak daerah ini.

“Melalui klinik ini juga bakat terpendam dapat dicungkil untuk dipersembahkan kepada pihak tertentu dalam usaha jadikan Tanah Merah gergasi bola sepak Kelantan,” katanya.

"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix