Monday, January 05, 2009

Sinar Harian 05/01/2009

Banjir: 41 sekolah ditutup

KOTA BHARU - Sebanyak 41 sekolah ditutup pada sesi pertama persekolahan tahun baru akibat banjir kali kedua yang melanda lima daerah negeri ini semalam.

Lima daerah yang dinaiki air ialah Rantau Panjang, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan daripada 41 sekolah itu, 35 merupakan sekolah rendah manakala 6 lagi adalah sekolah menengah.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Ghazali Abdul Rahman berkata, semua sekolah tersebut terpaksa ditutup kerana kebanyakan jalan ke sekolah berkenaan ditenggelami air sedalam 1 meter.

Menurutnya, walaupun terdapat sekolah tidak ditenggelami air namun jalan untuk ke sekolah tersebut ditutup dan secara tidak langsung operasi sekolah terpaksa juga ditutup.

“Kita berharap pelajar-pelajar tidak putus semangat untuk ke sekolah semula apabila dibuka semula nanti dan dapat memulakan sesi pengajian dengan lebih baik kelak.

“Pelajar sekolah diminta supaya berhati-hati dan menjaga peralatan sekolah agar tidak ditenggelami air terutama bagi mereka yang terlibat dengan banjir yang mulai melanda Kelantan sejak kelmarin,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Di RANTAU PANJANG, sebanyak 14 sekolah ditutup antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Baroh Pial, SK Gual Sitok, SK Gual Tok Deh, SK Kampung Baru, SK Kok Pauh, SK Lubok Stol, SK Kampung Rahmat, SK Rantau Panjang, SK Sri Rantau Panjang 1, SK Sri Rantau
Panjang 2, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kay Boon dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang.

Ghazali berkata, sekolah-sekolah tersebut merupakan sekolah yang kritikal akibat banjir pada kali ini manakala bagi sekolah yang tidak kritikal dan masih boleh mengharungi air banjir tetap diteruskan dengan sesi pembelajaran tahun baru.

“Kita berharap para guru dan ibu bapa dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menghadapi situasi seumpama ini kerana bimbang dengan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Di KOTA BHARU sebanyak enam buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah turut mengalami nasib yang sama.
Manakala di TANAH MERAH, lima sekolah rendah, sebuah sekolah menengah ditutup dan di KUALA KRAI pula terdapat empat sekolah rendah ditutup.

Di TUMPAT pula, sebanyak sembilan sekolah ditutup pada hari pertama sesi persekolahan tahun baru ini berikutan banjir.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pakyong, SK Simpangan, SK Pulau Beluru, SK Teluk Jering, SK Sungai Pinang, SK Kampung Laut, SK Sri Kampung Laut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pinang dan SMK Kampung Laut.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Tumpat, Zakaria Awang Chik berkata, tiga sekolah iaitu SK Bendang Pak Yong, SK Simpangan dan SK Pulau Beluru sejak hari Sabtu lagi dinaiki air apabila daerah ini dilanda banjir selepas hujan lebat sejak semalam.

Katanya, manakala SK Pulau Beluru ditutup memandangkan jalan sungai ke sekolah tersebut tidak selamat disebabkan arus deras sungai Kelantan membahayakan pelajar untuk menaiki bot.

Menurutnya, sekolah yang ditutup hari pertama sesi persekolahan hari ini melibatkan SK Kampung Laut, SK Sri Kampung Laut, SMK Kampung Laut dan SK Teluk Jering.

Bagaimanapun, kata Zakaria, di SK Sungai Pinang, pelajar sempat mendaftarkan diri sebelum sekolah itu ditutup berkuat kuasa esok (hari ini) apabila air mula memasuki kawasan sekolah.

“Manakala demi keselamatan pelajar yang rata-rata bersekolah di situ dan kampung mereka turut ditenggelami air banjir, SMK Sungai Pinang juga terpaksa ditutup berkuat kuasa esok (hari ini),” katanya.

"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix