Friday, January 02, 2009

Sinar Harian 2/01/2009

Liga bantu rancakkan sepak takraw

TANAH MERAH - Pertandingan liga sepak takraw, baik di peringkat kampung mahu pun daerah perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam ikhtiar merancakkan lagi sukan tersebut di daerah ini.

Seorang pemain ketika ditemui Sinar Harian, Othman Abdullah berkata, mutakhir ini pertandingan liga sukan itu di jajahan ini agak berkurangan malah jika ia kembali rancak pasti ramai pemain baru muncul melalui liga tersebut.

Kata Othman, bakat itu boleh digilap dan diketengahkan sebagai pelapis pemain negeri dan kemungkinan besar negara.

“Bukan mudah hendak mencari bakat baru yang boleh diketengahkan. Apa pun bakat boleh dikesan melalui liga sukan tersebut.

“Oleh itu untuk rancakkan lagi sukan tersebut, kekerapan mengadakan liga di sini penting dalam usaha memberi ruang bakat baru muncul menjadi pemain terhebat, bukan sahaja negeri, tetapi juga negara,” katanya.

Shuzaidi Shukri pula bersetuju dengan rakannya itu, malah menjelaskan ia adalah menjadi landasan buat pemain baru beraksi.

“Jika tidak liga di peringkat jajahan, biarlah ia bermula di kampung.

“Tidak semestinya liga desa itu tidak mampu mengesan bakat,” katanya.

Bagi Zulhairi Mohamad pula berkata, peranan penaja tanpa mengira individu atau syarikat penting dalam usaha mengembalikan kerancakan sukan itu.

Kejohanan peringkat kebangsaan atau negeri elok juga sekali sekala di adakan di sini dalam usaha menambah kerancakan sukan itu di sini.

“Apabila kejohanan besar diadakan di sini, tentu merangsang minat individu untuk aktifkan semula pasukan mereka.

“Secara tidak langsung semangat untuk menjadikan daerah ini lubuk pemain sepak takraw hebat berkemungkinan besar akan tercapai seterusnya merancakkan sukan itu di sini,” katanya.
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix