Saturday, January 03, 2009

Utusan Malaysia 3/01/2009

Hujan lebat di beberapa negeri sehingga esok
03/01/2009 5:08pm
KUALA LUMPUR 3 Jan. — Hujan lebat di beberapa kawasan di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Johor dijangka berterusan sehingga esok, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Menurut kenyataan jabatan itu hari ini, daerah terbabit ialah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Jeli, Kuantan, Jerantut, Pekan, Rompin, Maran, Bera, Marang, Hulu Terengganu, Dungun, Kemaman, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Johor Baharu dan Segamat.
Hujan lebat di Bahagian Kudat, Kota Marudu dan Pintas di Sabah pula dijangka berterusan sehingga Isnin ini dan boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebing sungai.
Ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang peringkat jingga di Sabah (Bahagian Pantai Barat di Ranau, Kota Belud dan Tuaran), Bahagian Sandakan (Beluran dan Sandakan), di Selangor (Daerah Hulu Selangor, Gombak, Daerah Klang, Hulu Langat, Petaling, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan di Perak (Daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta) pula dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.
Sementara itu, hujan yang berterusan sejak malam semalam mengakibatkan 106 orang daripada 28 keluarga di daerah Kuantan terpaksa dipindahkan selepas kawasan penempatan mereka mula dilanda banjir.
Di Kelantan pula, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang telah melebihi paras bahaya dengan catatan 9.2 meter.
Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, paras air di lima sungai utama negeri ini berada di atas paras berjaga-jaga iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam.
Selain itu, paras air di Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Golok di Jenob melebihi paras biasa.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya berkata jalan dari Pasir Puteh ke Kota Baharu ditutup kepada kenderaan ringan pagi ini setelah ditenggelami air antara 0.1 meter dan 0.3 meter di Kampung Bukit Abal Tiga.
— BERNAMA
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

No comments:

 

Free shoutbox @ ShoutMix