Thursday, January 29, 2009

Bancian untuk Blog Anok-anok Kusia

Salam,
Kepado anok-anok Kusial, hari ini ambo letak satu bancian mengenai blog kita ini.Bancian ini bermula dari tarikh 29/1/2009 sehingga 28/2/2009.
Sekian.Terima Kasih
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Sinar Harian 29/01/2009

Kelab Sukan KRT Kusial Baru rai hari terakhir Muharam

TANAH MERAH - Kelab Sukan KRT Perumahan Kusial Baru meraikan hari terakhir Muharam dengan memasak lima kawah bubur asyura semalam.

Pengerusinya, Rozi Safaai berkata, seramai 40 orang peserta klinik bola sepak terdiri daripada remaja berusia bawah 16 tahun dan 40 pemain skuad senior pasukan itu bersama penghuni perumahan memasak bubur tersebut.

Biarpun hujan lebat dan langit mendung, namun semangat gotong-royong dan kerjasama yang ditunjukkan penghuni setempat tetap kukuh.

“Saya bangga dengan kerjasama yang ditunjukkan seluruh warga perumahan. Jalinan jitu ini ternyata memberikan moral kepada kami, bukan sahaja dalam sukan malah perkara lain,” katanya pada sinar Harian.

Menurut Rozi, setiap kali perlawanan bola sepak diadakan, seluruh penghuni perumahan terus memberikan sokongan kepada pasukannya.

Justeru bagi mengenang jasa sokongan mereka, bubur asyura dibagi-bagi kepada penghuni tersebut.

“Saya harap sokongan daripada penghuni perumahan tidak berbelah bagi kepada kami. Kejayaan kami kejayaan bersama. Hasil sokongan itu, pasukan bola sepak kami antara pasukan terkuat Tanah Merah,” katanya.

Sementara itu kemeriahan bubur asyura KRT tersebut bertuah dengan kehadiran bekas Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ir. Shaari Hassan.

Pada majlis itu Shaari berkata, beliau bangga melihat kesepaduan masyarakat perumahan yang masih mengamalkan sikap tolong menolong antara satu sama lain dalam usaha melahirkan masyarakat yang caknakan perpaduan.

“Inilah budaya yang mesti dikekalkan dalam masyarakat. Sifat dan sikap caknakan perpaduan ternyata akan jadikan masyarakat itu harmoni dan kukuh,” katanya pada Sinar Harian.

Shaari (kiri) bersama Rozi dan pemain pasukan KRT Perumahan Kusial Baru memasak bubur asyura.
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Saturday, January 24, 2009

Sinar Harian 24/01/2009

40 remaja berbakat sertai klinik bola sepak bawah 16 tahun

TANAH MERAH - Lebih 40 remaja berbakat berusia bawah 16 tahun sertai klinik bola sepak anjuran Kelab Sukan KRT Perumahan Kusial Baru, bermula semalam.

Pengerusinya, Rozi Safaai berkata, sambutan yang menggalakkan daripada golongan pelapis itu ternyata menunjukkan bahawa remaja perumahan lebih pentingkan sukan daripada melakukan pekerjaan tidak berfaedah.

Bercakap pada sesi pertama klinik tersebut, Rozi berkata, beliau bangga apabila ramai remaja berbakat menunjukkan kebolehan mereka bermain bola sepak.

“Saya yakin, pasukan bawah 16 nanti akan menjadi sehebat pasukan senior. Di kalangan pemain sudah ada yang terpilih untuk mewakili sekolah masing-masing dan saya yakin bahawa pengalaman yang bakal ditimba pada program klinik nanti memungkinkan pasukan B menjadi pencabar utama pasukan lain di dalam jajahan ini,” katanya pada Sinar Harian.

Menurut Rozi, untuk menjadi pemain bola sepak terkenal dan digeruni lawan, pemain mesti mempunyai keyakinan diri dan sikap ingin maju di dalam sukan yang diceburi serta berdisiplin.

Tanpa disiplin seseorang pemain itu tidak akan berjaya dalam karier mereka.

Justeru, Rozi menyeru kepada remaja yang terpilih menyertai klinik tersebut supaya utamakan disiplin semasa hadiri klinik itu.

:Menurut Rozi, mana-mana peserta klinik tersebut yang potensi akan diserapkan ke pasukan senior dan berpeluang menimba ilmu bola sepak dengan pemain yang banyak pengalaman.

“Oleh itu kepada peserta klinik ingati apa yang diajarkan oleh jurulatih kerana ilmu itu bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri sendiri,” katanya.

Apapun dalam usaha memantapkan pasukan, Rozi berkata, mana-mana pemain yang terlibat dengan gejala tidak sihat tidak akan dibenarkan menyertai kesebelasan utama skuad 16 tahun, walaupun mereka terpilih.

Sementara itu, jurulatih yang kendalikan klinik tersebut, Kamaldin Mahmood berkata, sokongan daripada remaja ternyata memberi nafas baru bola sepak di perumahan itu khasnya dan Tanah Merah amnya.

Katanya, realisasi untuk lahirkan pemain pelapis hebat bakal tercapai dengan adanya klinik tersebut.

“Apapun saya menyeru kepada peserta klinik, tumpukan pada tunjuk ajar yang diberikan kerana apa yang dimiliki jurulatih sebenarnya tidak ada pada pemain,” katanya.

Kamaldian berkata, sebanyak tiga fasa akan diajarkan sepanjang klinik berlangsung.

Katanya, fasal pertama melibatkan jasmani, kedua teknik mengawal bola termasuk sepakan penalti, bebas dan sudut.

“Fasa ketiga perlawanan persahabatan dengan pasukan jiran sekampung selain daerah termasuk Tumpat, Pasir Mas, Machang, Pasir Puteh serta jajahan lain.

“Bila kita bersungguh, kita akan capai apa yang diidamkan,” katanya.

"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Wednesday, January 14, 2009

Utusan Malaysia 14/01/2009

Lelaki mati lemas, remaja hilang

KOTA BHARU 13 Jan. - Seorang lelaki mati lemas manakala seorang lagi remaja hilang apabila masing-masing terjatuh dari jambatan dalam kejadian berasingan di Machang dan Tanah Merah semalam.

Dalam kejadian pertama, mayat mangsa, Fun Kok Sou, 31, ditemui terapung oleh penduduk kampung di Sungai Kelantan dekat Kampung Jelatok, Machang kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, kehilangan mangsa disedari setelah polis menemui lori milik mangsa di atas jambatan Kenerak kira-kira pukul 8 pagi semalam.

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa yang mengalami masalah keluarga dikatakan keluar dari rumahnya di Taman Desa Utama, Tanah Merah untuk ke pasar borong di Wakaf Che Yeh.

"Kebiasaannya mangsa yang memandu bersendirian melalui jalan Pasir Mas tetapi pada hari kejadian dia menggunakan laluan Machang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, sepasukan anggota polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanah Merah kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan telah diserahkan kepada keluarga.

Dalam kejadian kedua, kira-kira pukul 4 petang semalam, Abdul Aziz berkata, seorang remaja, Wan Mohd Faris Wan Kamaruddin, 19, hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Guillermard, Tanah Merah, setinggi 20 meter.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua rakannya Mohd. Aizat Ramlan, 15 dan Mohd. Shafiz Ahmad, 17, berada di atas jambatan berkenaan dipercayai tergelincir.

"Kita yang menerima maklumat kira-kira pukul 5 petang, kemudian menghubungi pihak bomba untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat tetapi sehingga hari ini, mangsa gagal ditemui," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi sehingga mangsa berjaya ditemui dan buat masa ini kita mendapati kerjasama daripada 15 anggota bomba termasuk unit skuba dan polis.


"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Sinar Harian 14/01/2009

Ajal Sungai Kelantan

TANAH MERAH - Dua lelaki dipercayai lemas di Sungai Kelantan dalam dua kejadian berasingan di Jambatan Guillmard, Kusial Baru dan Jambatan Kenerak dekat sini.

Mangsa pertama seorang lelaki Cina, Fan Kok Hou, 31, yang beralamat di 4430 Taman Desa Utama, Tanah Merah ditemui terdampar di Sungai Kampung Jelatok selepas disyaki terjun dari Jambatan Kenerak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, berdasarkan laporan yang dibuat ibu saudara mangsa, Lee Sa Buan, 54, kira-kira jam 1.30 petang hari kejadian, mangsa yang juga peniaga sayur di Pasar Borong Kota Bharu dipercayai keluar dari rumahnya kira-kira jam 4 pagi.

“Laporan dibuat ibu saudara mangsa kira-kira jam 1.30 petang hari kejadian, setelah gagal menjumpai mangsa yang dipercayai meninggalkan van di atas Jambatan Kenerak,” katanya.

Anggota Unit Skuba bersiap sedia untuk menjalankan gerakan mencari mangsa di Sungai Kusial semalam.
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Tuesday, January 13, 2009

Berito Terkini dari Kampong

13/01/2009, Mamat cucu Pakdo Shafie jatuh daripada Gertok Kusial (Guillemard) kemarin (12/01/2009), sehingga kini mangsa belum ditemui. Kini usaha mencari diteruskan lagi dengan dibantu 5 bot dari Polis, Bomba, Pok Ya Polis dan Baharom Pakdo Mat Usin. Sekarang mereka telah melangkau jarak pencarian sehingga ke Sg Marak??, Sg Belimbing. Semoga mangsa dijumpai dengan selamat. Kepada anok2 Kusial marilah kita sama2 berdoa dan melakukan sembahyang hajat agar mangsa dijumpai.Amin.
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Monday, January 05, 2009

Utusan Malaysia 05/01/2009

Jalan Gua Musang-Lojing ditutup akibat tanah runtuh

05/01/2009 11:33am

KOTA BAHARU 5 Jan. — Jalan Gua Musang-Lojing ditutup kepada semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh di Kilometer 85.5 semalam.

Jurucakap bilik gerakan banjir Ibu Pejabat Polis Gua Musang berkata kejadian berlaku pada 10 pagi semalam melibatkan kawasan hampir satu kilometer.

Jalan Gua Musang-Lojing adalah laluan alternatif bagi pemandu dari Kelantan ke Cameron Highlands.

Jurucakap pusat operasi banjir negeri pula berkata bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan di Kelantan meningkat kepada 783 orang berbanding 623 semalam.

Seramai 537 daripada mereka adalah di Pasir Mas, 111 di Machang, 68 di Tanah Merah, 45 di Kota Baharu dan 22 di Kuala Krai.

Jurucakap itu berkata Jalan Kota Baharu-Pantai Cahaya Bulan pula masih ditutup untuk kenderaan ringan kerana ditenggelami air sedalam 0.35 meter. Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan berkata air di Sungai Kelantan di Kusial dan Sungai Golok di Rantau Panjang adalah pada paras bahaya manakala lima lagi sungai berada di atas paras berjaga-jaga dan satu lagi sungai berada di atas paras biasa. - Bernama


"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Sinar Harian 05/01/2009

Banjir: 41 sekolah ditutup

KOTA BHARU - Sebanyak 41 sekolah ditutup pada sesi pertama persekolahan tahun baru akibat banjir kali kedua yang melanda lima daerah negeri ini semalam.

Lima daerah yang dinaiki air ialah Rantau Panjang, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan daripada 41 sekolah itu, 35 merupakan sekolah rendah manakala 6 lagi adalah sekolah menengah.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Ghazali Abdul Rahman berkata, semua sekolah tersebut terpaksa ditutup kerana kebanyakan jalan ke sekolah berkenaan ditenggelami air sedalam 1 meter.

Menurutnya, walaupun terdapat sekolah tidak ditenggelami air namun jalan untuk ke sekolah tersebut ditutup dan secara tidak langsung operasi sekolah terpaksa juga ditutup.

“Kita berharap pelajar-pelajar tidak putus semangat untuk ke sekolah semula apabila dibuka semula nanti dan dapat memulakan sesi pengajian dengan lebih baik kelak.

“Pelajar sekolah diminta supaya berhati-hati dan menjaga peralatan sekolah agar tidak ditenggelami air terutama bagi mereka yang terlibat dengan banjir yang mulai melanda Kelantan sejak kelmarin,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Di RANTAU PANJANG, sebanyak 14 sekolah ditutup antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Baroh Pial, SK Gual Sitok, SK Gual Tok Deh, SK Kampung Baru, SK Kok Pauh, SK Lubok Stol, SK Kampung Rahmat, SK Rantau Panjang, SK Sri Rantau Panjang 1, SK Sri Rantau
Panjang 2, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kay Boon dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang.

Ghazali berkata, sekolah-sekolah tersebut merupakan sekolah yang kritikal akibat banjir pada kali ini manakala bagi sekolah yang tidak kritikal dan masih boleh mengharungi air banjir tetap diteruskan dengan sesi pembelajaran tahun baru.

“Kita berharap para guru dan ibu bapa dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menghadapi situasi seumpama ini kerana bimbang dengan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Di KOTA BHARU sebanyak enam buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah turut mengalami nasib yang sama.
Manakala di TANAH MERAH, lima sekolah rendah, sebuah sekolah menengah ditutup dan di KUALA KRAI pula terdapat empat sekolah rendah ditutup.

Di TUMPAT pula, sebanyak sembilan sekolah ditutup pada hari pertama sesi persekolahan tahun baru ini berikutan banjir.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pakyong, SK Simpangan, SK Pulau Beluru, SK Teluk Jering, SK Sungai Pinang, SK Kampung Laut, SK Sri Kampung Laut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pinang dan SMK Kampung Laut.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Tumpat, Zakaria Awang Chik berkata, tiga sekolah iaitu SK Bendang Pak Yong, SK Simpangan dan SK Pulau Beluru sejak hari Sabtu lagi dinaiki air apabila daerah ini dilanda banjir selepas hujan lebat sejak semalam.

Katanya, manakala SK Pulau Beluru ditutup memandangkan jalan sungai ke sekolah tersebut tidak selamat disebabkan arus deras sungai Kelantan membahayakan pelajar untuk menaiki bot.

Menurutnya, sekolah yang ditutup hari pertama sesi persekolahan hari ini melibatkan SK Kampung Laut, SK Sri Kampung Laut, SMK Kampung Laut dan SK Teluk Jering.

Bagaimanapun, kata Zakaria, di SK Sungai Pinang, pelajar sempat mendaftarkan diri sebelum sekolah itu ditutup berkuat kuasa esok (hari ini) apabila air mula memasuki kawasan sekolah.

“Manakala demi keselamatan pelajar yang rata-rata bersekolah di situ dan kampung mereka turut ditenggelami air banjir, SMK Sungai Pinang juga terpaksa ditutup berkuat kuasa esok (hari ini),” katanya.

"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Sunday, January 04, 2009

Utusan Malaysia 04/01/2009

Keadaan banjir di Pahang dan Kelantan semakin serius

04/01/2009 7:15pm

KUANTAN 4 Jan. — Keadaan banjir di Pahang dan Kelantan semakin serius dengan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat dan beberapa jalan utama ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,921 orang pada petang ini berbanding 2,514 orang pagi tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 5 petang ini, daerah Kuantan terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 1,753 orang diikuti Pekan seramai 1,022 orang.

Daerah Kuala Lipis merupakan daerah terbaru dilanda banjir hari ini membabitkan 11 orang di Kampung Kuala Medang dipindahkan ke dewan orang ramai kampung itu, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Daerah lain yang terbabit ialah Cameron Highlands (35 orang di pusat pemindahan), Maran (93 orang) dan Raub (7).

Katanya, laluan di Km8 hingga Km12 Jalan Sungai Lembing-Kuantan; Jalan Tanjung Lumpur-Pekan dekat Taman Kempadang Jaya; Km36 Jalan Gambang-Maran; Km 28 Jalan Kampung Caru, di Jambatan Sungai Caru di Kuantan dan Jalan Serengkam-Kampung Bak Bak, Maran masih ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Di KELANTAN, banjir menyebabkan 33 buah sekolah membabitkan 33,000 pelajar di enam jajahan tidak dapat memulakan sesi persekolahan tahun ini yang bermula hari ini.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, sekolah yang tidak boleh beroperasi akibat banjir akan diberikan cuti ganti atas permohonan guru besar dan pengetua sehingga keadaan banjir pulih. - Bernama


"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Saturday, January 03, 2009

Utusan Malaysia 3/01/2009

Hujan lebat di beberapa negeri sehingga esok
03/01/2009 5:08pm
KUALA LUMPUR 3 Jan. — Hujan lebat di beberapa kawasan di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Johor dijangka berterusan sehingga esok, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Menurut kenyataan jabatan itu hari ini, daerah terbabit ialah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Jeli, Kuantan, Jerantut, Pekan, Rompin, Maran, Bera, Marang, Hulu Terengganu, Dungun, Kemaman, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Johor Baharu dan Segamat.
Hujan lebat di Bahagian Kudat, Kota Marudu dan Pintas di Sabah pula dijangka berterusan sehingga Isnin ini dan boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebing sungai.
Ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang peringkat jingga di Sabah (Bahagian Pantai Barat di Ranau, Kota Belud dan Tuaran), Bahagian Sandakan (Beluran dan Sandakan), di Selangor (Daerah Hulu Selangor, Gombak, Daerah Klang, Hulu Langat, Petaling, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan di Perak (Daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta) pula dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.
Sementara itu, hujan yang berterusan sejak malam semalam mengakibatkan 106 orang daripada 28 keluarga di daerah Kuantan terpaksa dipindahkan selepas kawasan penempatan mereka mula dilanda banjir.
Di Kelantan pula, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang telah melebihi paras bahaya dengan catatan 9.2 meter.
Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, paras air di lima sungai utama negeri ini berada di atas paras berjaga-jaga iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam.
Selain itu, paras air di Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Golok di Jenob melebihi paras biasa.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya berkata jalan dari Pasir Puteh ke Kota Baharu ditutup kepada kenderaan ringan pagi ini setelah ditenggelami air antara 0.1 meter dan 0.3 meter di Kampung Bukit Abal Tiga.
— BERNAMA
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

Friday, January 02, 2009

Sinar Harian 2/01/2009

Liga bantu rancakkan sepak takraw

TANAH MERAH - Pertandingan liga sepak takraw, baik di peringkat kampung mahu pun daerah perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam ikhtiar merancakkan lagi sukan tersebut di daerah ini.

Seorang pemain ketika ditemui Sinar Harian, Othman Abdullah berkata, mutakhir ini pertandingan liga sukan itu di jajahan ini agak berkurangan malah jika ia kembali rancak pasti ramai pemain baru muncul melalui liga tersebut.

Kata Othman, bakat itu boleh digilap dan diketengahkan sebagai pelapis pemain negeri dan kemungkinan besar negara.

“Bukan mudah hendak mencari bakat baru yang boleh diketengahkan. Apa pun bakat boleh dikesan melalui liga sukan tersebut.

“Oleh itu untuk rancakkan lagi sukan tersebut, kekerapan mengadakan liga di sini penting dalam usaha memberi ruang bakat baru muncul menjadi pemain terhebat, bukan sahaja negeri, tetapi juga negara,” katanya.

Shuzaidi Shukri pula bersetuju dengan rakannya itu, malah menjelaskan ia adalah menjadi landasan buat pemain baru beraksi.

“Jika tidak liga di peringkat jajahan, biarlah ia bermula di kampung.

“Tidak semestinya liga desa itu tidak mampu mengesan bakat,” katanya.

Bagi Zulhairi Mohamad pula berkata, peranan penaja tanpa mengira individu atau syarikat penting dalam usaha mengembalikan kerancakan sukan itu.

Kejohanan peringkat kebangsaan atau negeri elok juga sekali sekala di adakan di sini dalam usaha menambah kerancakan sukan itu di sini.

“Apabila kejohanan besar diadakan di sini, tentu merangsang minat individu untuk aktifkan semula pasukan mereka.

“Secara tidak langsung semangat untuk menjadikan daerah ini lubuk pemain sepak takraw hebat berkemungkinan besar akan tercapai seterusnya merancakkan sukan itu di sini,” katanya.
"Kito Anok Kusia"
Anak Kusial, Perantau Kusial, ISVKB,ISPKB & Sri Guillemard

 

Free shoutbox @ ShoutMix